![]() |
| IMAN & KASIH SAYANG |
|
|
Majikan dan Kasih Sayang ::
Jika Tuhan memberi kamu pangkat atau kuasa, jangan kamu takbur. Takbur adalah pemusnah kasih sayang. Orang yang takbur tidak disayangi Tuhan, tidak disayangi mereka yang berada di sekelilingnya. Mereka tersenyum dihadapanmu, tetapi mengutuk dibelakangmu.
Perasaan hormat tidak boleh dipaksa, ia datang dari jiwa yang ikhlas, ia datang dari mata yang melihat peribadimu. Jika kamu mahu dihormati, kamu perlu menghormati anak buah kamu, sayangi mereka terlebih dahulu nescaya kamu disayangi. Hulurkan tanganmu ketika mereka memerlukan bantuan. Nabi yang penuh kasih sayang sentiasa memalingkan wajahnya selepas solat memerhatikan siapakah sahabat yang tiada dalam jemaah. Dia akan bertanya dimanakah sahabat pergi, adakah ia sakit, adakah ia ada masalah jika dilihat sahabat itu tiada. Dia tidak pernah memalingkan wajahnya ke arah lain ketika sahabatnya bercakap, sehingga semua orang merasai dirinya dihargai dan dihormati. Dalam organisasi, yang menghidupkan dan menguatkan ialah kerjasama yang jitu antara pemimpin dan anak buah. Kasih sayang adalah ubat yang mujarab kepada apa jua masalah dan ia juga bagaikan api yang dapat menjana kekuatan. Hidupkan suasana kasih sayang dalam organisasi, jadikan pejabat bagaikan rumah yang ceria dengan suasana kekeluargaan. Sentiasa pastikan hubungan yang rapat dan menjaga perkara yang boleh membawa kemusnahan kasih sayang. Pemimpin yang baik memastikan unsur takbur, dengki, umpat tiada dalam organisasinya. Kerana semua itu adalah pemusnah kasih sayang, ia adalah pelemah kekuatan syarikat. Didiklah anak buah kepada keimanan dan kebersihan jiwa. Jadikan mereka kumpulan yang hatinya penuh dengan kasih sayang. Walau bagaimana hebat pun seorang pemimpin, organisasi tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan padu dari kumpulannya. Begitu juga betapa hebat pun kumpulan jika tidak memiliki pemimpin yang hebat dan pemikiran yang ke depan, ia tidak membawa ke mana-mana jua. Hari ini, kebanyakan syarikat walaupun hebat dalam penyusunan dan perancangan dari sudut kebendaan tetapi mereka gagal dari sudut pengurusan kejayaan manusia. Lahirlah kepincangan, boss tidak dihormati atau anak buah banyak memberi masalah. Hubungan pekerja dingin dan yang malangnya berlaku jatuh menjatuh sesama sendiri. Peranan pemimpin adalah amat penting dalam apa jua keadaan. Kelemahan pemimpin akan mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang boleh menguasai suasana, bukan terikut dengan suasana. Jangan kamu bersikap meninggi diri dihadapan anak buah, komunikasi perlu dijaga supaya wujudnya kasih sayang. Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mempunyai empat ciri. Pertama, dia bagaikan ayah yang sentiasa mengambil berat kebajikan anaknya. Sehingga jika melihat anaknya termenung, dia tahu masalah yang difikirkan si anak. Sebagaimana Nabi SAW ketika melihat seorang sahabat yang miskin termenung, baginda bertanya, adakah sahabat itu ingin berkahwin. Lalu kata sahabat tadi, "Siapakah wanita yang ingin berkahwin dengan saya?". Lalu Nabi SAW menyuruhnya meminang anak perempuan seorang hartawan atas perintah Baginda. Kedua, dia bagaikan seorang sahabat yang boleh berbincang apa jua masalah dan menyimpan rahsia serta keaibannya. Ketiga dia bagaikan guru yang sentiasa memberi tunjuk ajar dengan baik jika anak buahnya melakukan kesilapan dan yang keempat dia adalah pemimpin yang boleh membuat keputusan yang tepat dan tegas tanpa dipengaruhi emosi demi kebaikan anak buah dan organisasinya. Lontarkanlah kasih sayang nescaya kasih sayang akan melantun kembali kepada kamu. Mereka adalah keluarga kamu yang kamu perlu jaga bukan sahaja dalam hal-hal dunia tetapi juga hal-hal berkaitan dengan keimanan. Firman Allah SWT, "Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka." Dan sabda Nabi SAW, "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya." Berkata Saidina Umar Al-Khattab (r.a), "Bagaimana Umar mahu tidur, malam untuk Tuhan sedangkan siang untuk rakyat. Jika kuda di sungai Nil kesakitan dan kelaparan, Umar yang akan menjawabnya dihadapan Tuhan."
Menjadi boss bukannya satu keseronokan tetapi ia adalah tanggungjawab yang besar. Kesalahan anak buah adalah tanggungjawab pemimpin. Janganlah kamu berkasar nanti hati mereka liar dengan kamu, berlemah lembut tetapi tegas adalah gabungan prinsip yang memperlihatkan keindahan dalam kepimpinanmu.
|