IMAN & KASIH SAYANG

 Allah dan Kasih Sayang
 Kasih Sayang Rasulullah Terhadap Umat
 Dakwah Yang Tidak Dahulukan Kasih Sayang
 Kamu dan Kasih Sayang
 Keluarga dan Kasih Sayang
 Suami dan Kasih Sayang
 Isteri dan Kasih Sayang
 Guru dan Kasih Sayang
 Ulama dan Kasih Sayang
 Ahli Politik dan Kasih Sayang
 Generasi Muda dan Kasih Sayang
 Majikan dan Kasih Sayang
 Pekerja dan Kasih Sayang
 Usahawan, Hartawan dan Kasih Sayang
 Sahabat dan Kasih Sayang
 Ekonomi dan Kasih Sayang
 Perundangan dan Kasih Sayang

 

   

Ulama dan Kasih Sayang ::

Wahai para Ulama,

Kamu bagaikan cahaya kepada manusia. Kamu mewarisi perjalanan Nabi SAW dan perjalanan Baginda adalah perjalanan kasih sayang. Apabila melihat umat berpecah, kamu seharusnya berfikir dan berperanan untuk menyatukan mereka.

Kamu adalah lambang penyatuan dan kasih sayang. Adalah tidak bijak jika kamu berada di dalam mana-mana kumpulan yang boleh mencederakan kasih sayang dan persaudaraan. Jika tidak, kamu tidak lagi menjadi pelindung dan cahaya kepada mereka, malah kamu sebenarnya menyemarakkan lagi perasaan permusuhan sesama Muslim. Kamu akan dilihat bersikap prejudis dan turut berperanan untuk menjatuhkan sesetengah pihak. Akhirnya kamu tidak lagi dihormati, malah diperangi dan ketika itu kamu akan sibuk untuk mempertahankan diri dan tindakan kamu.

Sebagai ulama, pandanglah semua manusia di depan dengan penuh perasaan kasih sayang. Lunakkan bahasamu dan hubungkan jiwamu dengan mereka yang mengharapkan pimpinanmu. Jauhkan bertelagah dalam perkara-perkara khilafiah supaya umat ini tidak terdidik dengan kebencian dan perpecahan.

Tidakkah kamu melihat kepada ulama-ulama silam. Mereka disayangi rakyat dan dihormati pemerintah. Mereka ibarat qadhi tanpa jawatan. Nasihat mereka menyatukan ummah dan menguatkan pemerintah. Mereka berani menegur kemungkaran yang dilakukan rakyat bawahan, para pegawai atau pemerintah. Kerana sifat taqwa dan kasih sayang dalam diri mereka menyebabkan mereka mengutamakan Allah lebih dari manusia dan segala isi dunia. Demi kasih sayang kepada negara dan umat manusia, bangunkanlah amar ma'ruf nahi mungkar, agar segala bala terangkat dari kita semua.

Masyarakat merindui ulama yang berani menegur pemimpin dengan kasih sayang dan memimpin rakyat dengan kasih sayang, sebagaimana Imam Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Imam Ahmad bin Hanbal, Tok Kenali, Tokku Paloh dan sebagainya. Mereka amat dihormati oleh Raja dan pemerintah, rakyat menyayangi mereka dengan penuh jiwa raga. Raja, pemimpin dan rakyat mencium tangan mereka. Nasihat mereka menyejukkan hati setiap insan yang mendengar, sama ada oleh pihak atas dan bawah.

Cahayakanlah wajahmu dengan kasih sayang, jadikan dirimu tempat dituju oleh manusia yang hilang kasih sayang. Jangan biarkan anak-anak Islam mencari Paderi meluahkan perasaan dan mencari kasih sayang. Pimpinlah umat ini dengan ilmu dan akhlakmu, jagalah lisanmu agar tidak mudah menghukum mereka. Mereka mahukan murabbi bukannya mufti, mereka perlukan pelukan bukannya tumbukan, mereka perlukan belaian bukannya kemarahan.

Berhati-hatilah diri kamu, setiap perkataan dan perbuatanmu menjadi fatwa bagi orang yang jahil. Jauhilah dunia dan jadikan dirimu contoh sebagai ulama yang menyirami keimanan dalam dada manusia. Apabila manusia melihat kamu, mereka mengingati Allah, mereka mengingati akhirat. Mereka melihat akhirat melalui wajahmu, melalui amalanmu, melalui kata-katamu. Tiadalah ilmu yang paling tinggi melainkan membawa manusia mengenal Tuhannya, bawalah mereka mengenal keaiban diri dari sibuk menyuluh keaiban orang lain.

Janganlah kamu membuka ruang ilmu yang boleh menjadi pertelingkahan dan perbahasan. Umat Islam sudah cukup dengan perpecahan yang tiada hujungnya. Masalah perbahasan ayat mutasyabihat sehingga berlakunya kafir mengkafir, masalah mazhab yang membawa kepada tuduh menuduh berlaku bidaah dan siapa yang lebih sunnah serta pelbagai lagi pertelingkahan yang diwarisi dari zaman dahulu, jangan ditambah lagi.

Umat Islam pada abad ini tidak mampu untuk berpecah, musuh terlalu nyata dan hampir dengan mereka. Slogan memerangi keganasan menjadi kalimah yang membolehkan musuh membunuh umat Islam dimana sahaja diatas nama mempertahankan diri. Imej umat Islam sudah begitu teruk ditelanjangi.

Ulamalah yang perlu bangun menyedarkan umat ini yang masih lagi lena dibuai mimpi. Mereka ramai tetapi bagaikan buih di laut. Mereka ahli dunia yang tiada cita-cita untuk akhirat. Siapakah yang akan menyedarkan mereka, siapakah yang akan menyirami hati mereka sehingga tercabutnya syaitan dan nafsu pada hati mereka. Inilah tanggungjawab ahli ilmu yang dimuliakan Tuhan, yang dimuliakan para malaikat.

Ulama perlu keluar pada hari ini, apatah lagi melihat perpecahan dikalangan umat Islam. Lembutkan hati mereka, jangan menjadi minyak yang menambah nyala apinya. Dengan kerohanian yang tinggi dan hati yang ikhlas, ia dapat menunduk sesiapa pun dihadapannya.

Bangunlah wahai para Ulama, sebarkan keimanan dan kasih sayang sehingga masyarakat bangun dari lenanya, bangun mempersiapkan diri untuk bertemu dengan Tuhan, bangun membersihkan diri mereka dari nafsu yang bermaharajalela, bangun menentang syaitan, bangun berdiri dihadapan Tuhan memohon keampunan, bangun untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan, bangun menyedarkan keluarga terhadap agama, bangun untuk mempertahankan Agama dan Negara dari ancaman musuh yang begitu kuat kebenciannya dan bersikap angkuh.

Semoga Allah menyelamatkan umat ini dengan ulama- ulama yang dikasihi Tuhan. Semoga selamat umat ini dari hidup terus dihina, semoga selamat umat ini dari ramai yang mati tanpa iman, semoga selamat umat ini dari hidupnya berakhir dengan Neraka Jahanam.