![]() |
| IMAN & KASIH SAYANG |
|
|
Ahli Politik dan Kasih Sayang ::
Permasalahan yang membawa kepada perpecahan di kalangan masyarakat Islam di negara ini dapat diselesaikan jika organisasi yang berbeza fahaman politik, mampu meletakkan kasih sayang, keikhlasan dan mencintai Islam lebih dari segalanya. Adab-adab perbincangan seperti dianjurkan Islam harus dipraktikkan. Perbincangan hendaklah dibuat dalam suasana kasih sayang dan persaudaraan serta bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Sebaik-baiknya carilah titik pertemuan dan ketepikan perkara yang boleh berpecah. Kaedah "Berkerjasama dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada dalam perkara yang tidak disepakati" adalah selari dengan ajaran Islam.
Jika dilihat, antara negara-negara Asean sendiri terlalu banyak perbezaan dan isu. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh mewujudkan krisis antara negara-negara tersebut. Namun sehingga kini, mereka teguh berpegang kepada konsep Asean sehingga segala masalah diselesaikan di meja rundingan. Ada yang membawanya ke Mahkamah Antaabangsa jika jalan rundingan menjadi buntu. Tetapi, yang pasti hubungan antara para pemimpinnya terus harmoni. Mereka meletakkan penyatuan dan keamanan sebagai keutamaan dan berusaha mengelak dari perpecahan dan peperangan. Mereka mencintai negara dan mahukan keamanan. Kenapa kita tidak boleh meletakkan Islam sebagai sebab kita perlu banyak bertolak ansur. Kita kadang kala mahu meperjuangkan Islam tetapi apabila emosi diletakkan dihadapan, banyak perkara hasil tindakan kita yang membawa kerugian kepada Islam. Amatlah sedih bagi seorang Muslim melihat umat Islam dan pemimpin mereka tidak dapat menyelesaikan permasalahan agama dan bangsanya sejak sekian lama. Sedangkan Nabi SAW hanya mengambil masa selama 24 tahun sahaja untuk menyatukan seluruh Jazirah Arab yang berpecah sehingga lahirnya manusia dan tamadun yang hebat. Alangkah sayangnya kita kepada pemimpin pihak-pihak berkenaan yang mempunyai ilmu, kecerdikan dan kepimpinan kerana tidak bersedia melapangkan dada mereka seluas-luasnya atas dasar kasih sayang . Dengan ilmu dan kebijaksanaan yang mereka miliki, tidak sepatutnya masalah yang mudah ini memakan masa berpuluh-puluh tahun untuk diselesaikan. Manusia yang cerdik tidak akan terikat kepada satu kaedah sahaja dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika ia tidak dapat diselesaikan dengan pendekatan politik kepartian, beberapa pendekatan lain perlu dicari . Pertembungan politik yang melampau boleh merosakkan pemikiran dan akhlak. Tumpuan kepada kempen politik sepanjang masa, tanpa memberi perhatian kepada program mendidik anggota dan penyokong untuk keimanan, akhlak, sikap toleransi, kasih sayang dan keterbukaan, adalah penyebab yang menyumbang kepada krisis berpanjangan. Perpecahan dan percakaran politik ini turut diperhatikan oleh anak-anak yang perlukan bimbingan, para muallaf, masyarakat non-muslim, orang-orang jahil dan kalangan orientalis atau musuh-musuh Islam. Akhirnya, imej Islam sebagai agama yang mendokongi nilai-nilai kasih sayang, persaudaraan dan kesejahteraan semua pihak tercalar dan meliarkan kalangan bukan Islam untuk memeluk Islam. Di celah-celah perbalahan dan krisis berpanjangan ini, berlaku gejala keruntuhan moral yang begitu dahsyat di kalangan masyarakat Melayu Islam. Statistik menunjukkan lebih 600 ribu anak Melayu Islam menjadi penagih dadah dan jumlahnya meningkat pada setiap masa. Anak Melayu Islam juga menjadi 'juara' dalam senarai krisis moral seperti merompak, mencuri, buang anak, seks bebas, murtad, perceraian dan pelbagai gejala sosial yang lain. Budaya hedonisme dan memuja artis secara melampau serta pemikiran tahyul kini cukup sinonim dengan orang Melayu Islam terutamanya generasi muda. Namun, semua ini bagaikan tidak memberi apa-apa makna kepada orang-orang politik dan para pemimpin, mereka terus dibuai mimpi dengan idealisme yang 'hebat'. Ada yang menyalahkan sistem yang tidak Islam sebagai penyebab krisis ini berlaku, sedangkan jika ditanya, kenapa keruntuhan ini berlaku kepada anak-anak Islam, kepada orang-orang Islam dan tidak kepada bangsa lain, tidak kepada Non-Muslim sedangkan mereka juga berada dalam negara yang sama, sistem yang sama. Jawaban pada masalah ini ialah orang Islam sudah tidak pandai mendidik anak-anak, orang Islam sudah hilang jati diri. Keluarga orang Islam sudah hilang ruh keimanan dan kasih sayang. Apa sahaja jalan penyelesaian yang dirangka haruslah berlandaskan iman dan kasih sayang. Tiada guna kita bercakap tentang seruan kepada Islam dan perpaduan jika jiwa kering dari pancaran kasih sayang, malah dipenuhi kekerasan dan permusuhan. Al-Quran dan Hadith digunakan untuk tujuan permusuhan dan menyenangkan nafsu. Kasih sayang dihancurkan. Manusia yang diseru tidak melihat sinar kasih sayang terpancar di wajah mereka. Islam adalah gambaran kasih sayang Allah SWT di alam ini. Bagi manusia yang beriman, hal ini cukup diberi perhatian dalam menangani segala kemelut yang melanda umat. Cukuplah perpecahan dan persengketaan yang tidak pernah selesai kerana jalan penyelesaiannya dikongkong oleh emosi dan nafsu ammarah. Yang terpancar adalah api-api kebencian dan permusuhan, bukan sinar kasih sayang dan persaudaraan. Marilah kita jadikan negara kita sebagai negara dakwah, negara kasih sayang, negara yang penuh keadilan, negara penuh keamanan. Kita perlu meyebarkan kasih sayang kita kepada semua kaum sehingga Islam menjadi kebanggaan dan agama mereka. Islam adalah jawabannya. Islam memiliki segala apa yang diperlukan oleh manusia. Islam adalah fitrah manusia, Islam adalah penyelamat manusia di dunia dan akhirat, Islam mempunyai prinsip yang universal yang tiada sebab manusia mahu menolaknya. Seruan keadilan, seruan tiada perbezaan sesama manusia, seruan kasih sayang, seruan kejujuran, amanah, seruan membantu orang yang perlu bantuan, seruan supaya membantu orang miskin, seruan supaya tidak menzalimi manusia, seruan pembinaan keluarga yang baik, seruan mencintai ilmu, seruan memuliakan wanita adalah contoh-contoh ajaran murni yang dibawa Islam. Benarlah kata-kata mereka yang bijak pandai, Islam adalah produk yang hebat tetapi tiada memiliki salesman yang bijak, sedangkan sistem Barat penuh kelemahan tetapi mereka mempunyai salesman yang handal. Ketiadaan politiking yang melampau di negara-negara maju seperti Amerika dan Britain juga membolehkan mereka menumpukan kepada dasar luar dengan berkesan. Marilah kita bersungguh-sungguh mengatur strategi dakwah daripada sibuk berpolitik tanpa kesudahan, daripada perbahasan masalah yang tiada titik temu. Di depan kita terlalu banyak perkara yang boleh kita bersatu dan banyak perkara yang boleh kita terus berpecah. Tepuk dada dan tanyalah iman.
Musuh Islam sudah nyata dan dekat. Perpatah Melayu mengatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Marilah kita mengutamakan yang paling utama dari yang utama. Biarlah kita berbeza pendapat tetapi ia membawa kepada saling lengkap melengkapi, saling membawa kekuatan. Walau kita berbeza pendapat, tapi ia tidak memutuskan kasih sayang dan perpaduan. Kasih sayang adalah jalan Nabi SAW sedangkan perpecahan, kebencian dan kemarahan adalah jalan syaitan.
|