IMAN & KASIH SAYANG

 Allah dan Kasih Sayang
 Kasih Sayang Rasulullah Terhadap Umat
 Dakwah Yang Tidak Dahulukan Kasih Sayang
 Kamu dan Kasih Sayang
 Keluarga dan Kasih Sayang
 Suami dan Kasih Sayang
 Isteri dan Kasih Sayang
 Guru dan Kasih Sayang
 Ulama dan Kasih Sayang
 Ahli Politik dan Kasih Sayang
 Generasi Muda dan Kasih Sayang
 Majikan dan Kasih Sayang
 Pekerja dan Kasih Sayang
 Usahawan, Hartawan dan Kasih Sayang
 Sahabat dan Kasih Sayang
 Ekonomi dan Kasih Sayang
 Perundangan dan Kasih Sayang

 

   

Generasi Muda dan Kasih Sayang ::

Wahai genarasi muda,

Ditanganmu negara ini akan diserahkan. Jika tanah segenggam kera ini jika kamu lalaikan, nescaya suatu hari nanti ia akan berada ditangan orang lain. Siapakah yang akan dipersalahkan?

Sayangilah dirimu, akalmu, kekuatanmu, ruhmu ketika waktu muda. Tajamkan segala potensi yang ada dirimu agar kamu benar-benar menjadi mukmin yang dikasihi Tuhan. Jadilah pemuda yang sentiasa memerhati hala tuju kehidupan. Jangan mengikut emosi, kamu perlu menjadi generasi yang baru, tidak terikut dengan tarian generasi kini, apa yang baik kamu ambil dan apa yang tidak baik kamu tinggalkan.

Ditangan kamu agama diamanahkan, sayangilah agamamu, sayangilah negaramu, sayangilah kehidupanmu kini, sayangilah bunga-bunga Islam yang begitu indah berkembang dihadapanmu dan manfaatkanlah pelbagai program dan perancangan yang telah disusun.

Negara kamu dikenal seluruh pelusuk dunia sebagai Negara Islam. Tinggalkanlah perbahasan mengenai pentakrifannya, hormatilah perbezaan itu. Yang penting bagi kamu ialah untuk menyuburkan lagi bunga-bunga yang sudah berkembang, jangan biarkan ia patah, jangan biarkan ia layu apabila berada ditanganmu nanti.

Kamu mesti berjihad mempertahankan negara ini. Hancurnya negara ini bermakna hancurlah bunga-bunga Islam yang dilihat seluruh pelusuk dunia kini. Lengkapkan dirimu dengan ilmu pengetahuan, jadikan masa mudamu untuk meninggikan kerohanianmu dengan ibadah dan mujahadah, jadikan usia mudamu untuk memperolehi apa jua ilmu. Jadikan usia mudamu untuk mengeratkan kasih sayang diantaramu, gunakan usia mudamu dengan merantau ke seluruh dunia untuk meluaskan pandanganmu. Tajamkan matamu, lihatlah dunia ini dari kaca mata seekor helang, janganlah kamu melihat dunia dari kacamata sang katak.

Dunia Islam sudah hampir kehilangan permata yang berharga iaitu kasih sayang. Dalam dada mereka sudah kosong dari ruh kasih sayang, walau pun mereka sembahyang bersama, walaupun mereka membaca surah Yasin bersama, walaupun mereka berada di hadapan Kaabah yang sama. Masing-masing mementingkan diri dan kaum kerabat tanpa memperdulikan saudara muslim yang lain.

Berapa umat Islam yang mengerjakan umrah pada tiap-tiap tahun tapi dalam dadanya kosong dengan kasih sayang untuk membantu saudaranya yang susah, jiran yang memerlukan bantuan, anak-anak yang kelaparan dan kesakitan, tiada duit untuk belajar, tiada duit untuk membiayai perubatan.

Sesungguhnya syaitan tidak mahu umat Muhamad SAW berkasih sayang kerana ia adalah sumber kekuatan, ia bagaikan bom yang amat bahaya. Tanpa kekuatan kasih sayang, walaupun umat ini diberi khazanah kekayaan, diberi kemajuan teknologi, diberi pelbagai ilmu, ia amat mudah dihancurkan kerana ia bagaikan bangunan yang tidak mempunyai sistem pertahanan yang kuat. Mereka akan hancur bukan disebabkan musuh tetapi pertelingkahan sesama sendiri. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita, sejarah adalah guru yang terbaik untuk mereka yang mahu mengambil pelajaran.

Sedarlah bahawa musuh sebenar umat Islam adalah golongan kuffar yang mahu menghancurkan Islam. Justeru, umat Islam perlu dihalakan kepada kasih sayang dan perpaduan walau pun berbeza pendapat. Amat rugi jika membiarkan mereka terus berbalah dalam isu-isu yang remeh dan khilafiah, sedangkan musuh Islam secara terang-terangan mengisytiharkan perang terhadap Islam.

Peristiwa 11 September 2001 seharusnya menyedarkan umat Islam dari lena yang panjang. Musuh melabelkan Islam sebagai agama keganasan dan penganutnya sebagai pengganas. Dengan sendirinya mereka melabelkan Nabi kita sebagai "Ketua pengganas". Apakah ini sedikit pun tidak merobek maruah dan kemuliaan kita sebagai umat terbaik?

Musuh-musuh Islam sangat berjaya di dalam usaha meracuni pemikiran umat Islam. Lihatlah realitinya, walau sebesar mana batu yang ditimpakan ke atas kepala umat Islam oleh pihak musuh, mereka terus fana dalam perbalahan khilafiah dan hal-hal yang remeh-temeh. Sedangkan kita berdepan dengan musuh yang nyata, yang telah dijelaskan oleh Al-Quran dan Hadis sejak sekian lama.

Wahai umat, halakanlah pandangan dan tindakan kamu kepada musuh Islam yang sebenar. Alangkah ruginya masa, tenaga dan wang ringgit kerana dihabiskan kepada perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada kesatuan dan kekuatan ummah.

Andalah, generasi muda, yang harus ke depan membentangkan jalan penyelesaian dengan seruan iman dan kasih sayang. Gunakan akalmu yang tajam, sifat rasional dan kebijaksanaan yang kamu miliki untuk melahirkan kasih sayang ummah. Ingatlah pesan Nabi, jika dua orang saudaramu bergaduh, damaikanlah mereka. Islam memberi rukhsah (kelonggaran) untuk mengharuskan penipuan demi mendamaikan dua orang saudara yang berselisih faham. Begitulah cintanya Islam kepada kasih sayang dan perpaduan.